Sunday, 30 August 2015

SEJARAH KAMPUNG




Sejarah Kampung :

                                    Kampung Sungai Kelambu ini telah dibuka pada tahun 1945 oleh sekumpulan peneroka yang kebanyakkannya berasal dari Kampung Sungai Lang dan kampung-kampung yang berdekatan yang telah diketuai oleh Tuan Haji Usap b. Kasnawi . Selain iitu ada juga sekumpulan peneroka yang datang dari daerah-daerah lein di negeri Selangor seperti daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam . Penerokaan ini diikut oleh anak dan isteri masing-masing . Oleh yang demikian ramai antara penduduk Kampung Sungai Kelambu mempunyai pertalian persaudaraan dengan mereka dari daerah yang berkenaan .
                                    Mereka yang datang telah meneroka dan membuka hutan untuk tujuan pertanian dan penempatan. Mereka membina pondok-pondok kecil dari kayu hutan untuk perlindungan dan kediaman anak dan isteri di waktu malam . Dengan berbekalkan semangat yang kental, mereka terus berusaha dengan gigih, hari demi hari, bulan ke tahun dan dari sebuah hutan menjadi belukar dan akhirnya sebuah kampung yang terpencil jauh di pedalaman .
                                    Tiada langsung kemudahan asas ketika itu . Para peneroka membina sendiri jalan-jalan kampung untuk perhubungan . Mereka juga membina system perparitan sendiri, membina surau-surau bagi tujuan berjamaah dan tempat pengajian anak-anak mereka . Semuanya mereka garap bersama secara bergotong-royong, seperti pepatah : ringan sama dijinjing, berat sama dipikul telah menjadi cogan kata azimat mereka .
                                    Hari demi hari semakin ramai peneroka yang datang dan semakin luas kawasan yang diterokai. Pada masa yang sama, mereka mula memikirkan untuk melantik seorang ketua dikalangan mereka untuk menjadi perantaraan dengan pihak berkuasa . Satu mesyuarat telah diadakan di mana Tuan Haji Usap b. Kasnawi ( mula menjadi ketua kampung : 1945 – 1972 ) telah terpilih menjadi ketua kampung yang pertama dan disokong dengan sebulat suara .
                                    Tuan Haji Usap b. Kasnawi menamakan kampung ini setelah mengadakan perjumpaan bersama masyarakat kampung dengan nama KAMPUNG SUNGAI KELAMBU – mengambil sempena nama sepohon pokok kayu yang besar lagi rendang di tepi sebatang anak sungai yang ada di kampung itu, iaitu pokok ‘Kelembau’ . Oleh kerana sebutan Sungai Kelembau agak payah dan susah mengikut loghat penduduk kampung yang rata-ratanya berketurunan Jawa, maka akhirnya mereka menukar dengan nama Sungai Kelambu. Nama tersebut telah diterima dan akhirnya diwarta kan oleh pihak berkuasa .
                                    Atas usaha gigih ketua kampung yang baru ini, Tuan Haji Usap b. Kasnawi dengan sokongan padu dari semua penduduk kampung mendesak pihak kerajaan yang memerintah membina jalan tanah merah, membina perparitan yang sempurna, masjid, balai raya, bekalan air bersih , elektrik dan lain-lain lagi kemudahan asas kepada sesebuah penempatan yang baharu . Kampung ini mula membangun secara beransur-ansur .
                                    Apabila beliau bersara pada tahun 1972, usaha-usaha beliau telah diteruskan oleh ketua kampung yang kedua iaitu Tuan Haji Saian b. Samidi ( bermula tahun 1972 – 1999 ) . Selama lebih kurang 27 tahun beliau memimpin dan mentadbir kampung Sungai Kelambu, terus membangun dan berkembang dalam pelbagai bidang samada dari segi sosio-ekonomi, insfranstruktur, pendidikan, pusat kesihatan dan sebagainya .

                       
                                   Setelah kematian beliau pada tahun 1999, Kampung Sungai Kelambu telah diterajui oleh seorang lagi pemimpin pelapis dari generasi kedua dengan wawasan 2020 untuk menuju kearah kemajuan dan pembangunan yang lebih bermakna di alaf baru abad ke-21 ini. Pemimpin ke-tiga yang menjadi Ketua Kampung Sungai Kelambu ialah Tuan Haji Dimyati @ Timyati b. Saparman( bermula dari tahun 1999 – hingga hari ini )

No comments:

Post a Comment