Sejarah
Kampung :
Kampung
Sungai Kelambu ini telah dibuka pada tahun 1945 oleh sekumpulan peneroka yang
kebanyakkannya berasal dari Kampung Sungai Lang dan kampung-kampung yang
berdekatan yang telah diketuai oleh Tuan Haji Usap b. Kasnawi . Selain iitu ada
juga sekumpulan peneroka yang datang dari daerah-daerah lein di negeri Selangor
seperti daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam . Penerokaan ini diikut oleh
anak dan isteri masing-masing . Oleh yang demikian ramai antara penduduk
Kampung Sungai Kelambu mempunyai pertalian persaudaraan dengan mereka dari daerah
yang berkenaan .
Mereka yang
datang telah meneroka dan membuka hutan untuk tujuan pertanian dan penempatan.
Mereka membina pondok-pondok kecil dari kayu hutan untuk perlindungan dan
kediaman anak dan isteri di waktu malam . Dengan berbekalkan semangat yang
kental, mereka terus berusaha dengan gigih, hari demi hari, bulan ke tahun dan
dari sebuah hutan menjadi belukar dan akhirnya sebuah kampung yang terpencil
jauh di pedalaman .
Tiada
langsung kemudahan asas ketika itu . Para peneroka membina sendiri jalan-jalan
kampung untuk perhubungan . Mereka juga membina system perparitan sendiri,
membina surau-surau bagi tujuan berjamaah dan tempat pengajian anak-anak mereka
. Semuanya mereka garap bersama secara bergotong-royong, seperti pepatah : ringan
sama dijinjing, berat sama dipikul telah menjadi cogan kata azimat mereka .
Hari demi
hari semakin ramai peneroka yang datang dan semakin luas kawasan yang
diterokai. Pada masa yang sama, mereka mula memikirkan untuk melantik seorang
ketua dikalangan mereka untuk menjadi perantaraan dengan pihak berkuasa . Satu
mesyuarat telah diadakan di mana Tuan Haji Usap b. Kasnawi ( mula menjadi ketua
kampung : 1945 – 1972 ) telah terpilih menjadi ketua kampung yang pertama dan
disokong dengan sebulat suara .
Tuan Haji
Usap b. Kasnawi menamakan kampung ini setelah mengadakan perjumpaan bersama masyarakat
kampung dengan nama KAMPUNG SUNGAI KELAMBU – mengambil sempena nama sepohon
pokok kayu yang besar lagi rendang di tepi sebatang anak sungai yang ada di
kampung itu, iaitu pokok ‘Kelembau’ . Oleh kerana sebutan Sungai Kelembau agak
payah dan susah mengikut loghat penduduk kampung yang rata-ratanya berketurunan
Jawa, maka akhirnya mereka menukar dengan nama Sungai Kelambu. Nama tersebut
telah diterima dan akhirnya diwarta kan oleh pihak berkuasa .
Atas usaha
gigih ketua kampung yang baru ini, Tuan Haji Usap b. Kasnawi dengan sokongan
padu dari semua penduduk kampung mendesak pihak kerajaan yang memerintah
membina jalan tanah merah, membina perparitan yang sempurna, masjid, balai
raya, bekalan air bersih , elektrik dan lain-lain lagi kemudahan asas kepada
sesebuah penempatan yang baharu . Kampung ini mula membangun secara
beransur-ansur .
Apabila
beliau bersara pada tahun 1972, usaha-usaha beliau telah diteruskan oleh ketua
kampung yang kedua iaitu Tuan Haji Saian b. Samidi ( bermula tahun 1972 – 1999
) . Selama lebih kurang 27 tahun beliau memimpin dan mentadbir kampung Sungai
Kelambu, terus membangun dan berkembang dalam pelbagai bidang samada dari segi
sosio-ekonomi, insfranstruktur, pendidikan, pusat kesihatan dan sebagainya .
Setelah
kematian beliau pada tahun 1999, Kampung Sungai Kelambu telah diterajui oleh
seorang lagi pemimpin pelapis dari generasi kedua dengan wawasan 2020 untuk
menuju kearah kemajuan dan pembangunan yang lebih bermakna di alaf baru abad
ke-21 ini. Pemimpin ke-tiga yang menjadi Ketua Kampung Sungai Kelambu ialah
Tuan Haji Dimyati @ Timyati b. Saparman( bermula dari tahun 1999 – hingga hari
ini )